Friday 2 August 2013

AKHBAR UTUSAN 25/05/2011

PDK San Peng kini lebih selesa, selamat kepada pelatih

nafesah Raja Nong Chik (kiri) bermesra dengan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti selepas merasmikan Bilik Multi Sensori serta Bilik Augmentatif dan Komunikasi Alternatif di Jalan San Peng, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Mei - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) San Peng menerima sumbangan sebanyak RM8,500 daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk menaik taraf pusat tersebut.
Isterinya, Datin Nafesah Raja Nong Chik yang menyampaikan sumbangan tersebut berkata, sumbangan itu bagi menampung kos memasang pintu sekatan dinding separuh kaca serta penghawa dingin di PDK tersebut.
Beliau yang mewakili Program Semai Bakti di bawah Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) berkata, usaha itu adalah bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pelatih-pelatih di PDK tersebut yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja kurang upaya.
Nafesah berkata demikian selepas merasmikan Bilik Multi Sensori (MSR) dan Bilik Augmentatif dan Komunikasi Alternatif (AAC) yang telah dinaik taraf di PDK tersebut di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Noormah Abdul Rauf dan Pengerusi PDK San Peng, Baharudin Husain.
PDK San Peng yang mempunyai kira-kira 30 pelatih dan empat petugas itu telah mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JKM selepas lawatan pertama Nafesah ke pusat itu pada 18 Mei tahun lalu.
Susulan itu, pelbagai kemudahan disediakan serta penambahan kelas kepada tiga buah kelas berbanding dua kelas sebelum ini.
Nafesah berkata, Semai Bakti mempunyai banyak program untuk golongan itu dalam usaha menjadikan mereka boleh berdikari sehingga mampu mengadakan lebih banyak aktiviti.
Beliau juga mahu melihat lebih banyak penglibatan ibu bapa dalam program-program yang diadakan kerana ia melibatkan anak-anak mereka.
Pada majlis yang sama juga, beliau turut menyampai sumbangan kepada tiga orang pelajar cemerlang dari kawasan Sri Sentosa, Lembah Pantai.

No comments:

Post a Comment